kerismu akan bersarung

Panas mentari tengah hari itu membahang. Panasnya tak terbada walaupun kipas berputar penuh. Azman yang duduk di pinggir kelas 5 Arif itu merungut. Kebisingan dan gelak tawa meriuhkan suasa kelas yang ketiadaan guru. Azman belajar di Sekolah Menengah Seri Murni (SMSM ) sejak tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Baginya perangai rakan sekelasnya tidak berubah. Macam budak – budak.

Azman merenung tingkap yang terdedah, memerhatikan persekitaran yang sibuk. Lalu lintas di jalan raya bagaikan arus yang tiada hentinya. Para peniaga sibuk dengan tugasnya, pemandu bas dengan tanggungjawab. Semua ini menyerabutkan lagi otaknya.

Dia mengeluh lagi. Dalam keadaan bising begini, diluar pula sibuk, bagaimana nak menelaah pelajaran? Bimbang juga hatinya membayangkan SPM yang ditempuhinya nanti. Arrrgggh…., Azman menguap sambil mendepakan tangannya. Mengantuk!

“Cikgu, cikgu datang!” Tiba-tiba Samad yang nakal berteriak. Semua pelajar bertebaran bagaikan “ lipas kudung” mencari tempat duduk. Kelas kelam-kabut. Semua pelajar meletakkan buku di atas meja. Pandangan mereka tertumpu pada kelibat guru yang masuk. Ada juga yang membetulkan baju sekolah yang terkeluar.

Kelas sunyi seketika; bagaikan tiada apa yang berlaku. Azman tergelak. Pandai juga rakan-rakan berlakun. Ada bakat! Detik hatinya. Sekejap kemudian kedengaran detap-detup kasut guru. Ketua tingkatan bangun memberi arahan dan semua pelajar berdiri sambil memberi salam.

“Waalaikumussalam, duduk !” Cikgu Husin berkumis tebal tak berjanggut yang garang itu memberi arahan. Di sampingnya berdiri seorang gadis. Murid baru agaknya, bisik hati Azman. Ditenung gadis itu. Lawa, cantik dan manis, hati Azman mengulas. Mungkin itu juga yang diulas oleh rakan-rakannya yang lain. Tetapi satu saja yang tak kena. Azman mula mengkritik. Mengapa tak pakai tudung? Getusnya lagi.

“Hari ini bersama-sama cikgu ada seorang pelajar baru bagi kelas kamu ini,” Cikgu Husin mula bersuara. “Namanya Ana Syahida. Saya harap kamu dapat menyesuaikan diri dengannya,” Cikgu Husin menambah lagi. Sambil itu matanya berlegar-legar memerhatikan setiap pelajarnya. Tiada sepatah kata pun yang terkeluar. Takut. Semuanya khusyuk mendengar dan memerhati.

“Ana awak boleh duduk di sana,” Cikgu Husin menuding tangannya ke meja di sebelah Azman. Tersirap darah Azman dibuatnya. Sememangnya meja disebelahnya kosong. Tidak berpenghuni. Tetapi…ahh…berbagai-bagai andaian negatif bermain di kepalanya. Keadaan bising kembali. Ada juga siulan nakal. Hendak memerli Azman atau hendak memikat? Mungkin kedua-duanya sekali. Sesekali kedengaran protes pelajar-pelajar lain. Ada suara-suara yang kurang menyenangkan hati Azman.

“Jaga,jaga. Sebelah tu buaya!” Samad ‘kepala’ murid-murid nakal di kelas itu mengingatkan. Bengkak hati Azman mendengarnya. Gadis itu mara ke meja yang ditunjukkan sambil membimbit beg sekolah yang berwarna biru laut. Di tenungnya gadis itu sekali lagi. Namanya seindah orangnya, ulas hati Azman. Sementelaah itu, Cikgu Husin telah keluar dan meninggalkan pesanan kerja di papan hijau. Azman mengeluarkan buku nota dan mencatat sesuatu. Gadis yang duduk di meja sebelah mengelih Azman seketika. Azman buat dak, tetapi hatinya tak keruan.

“Saudara, boleh kita berkenalan?” secara tiba-tiba gadis itu menyapa Azman sambil menghulurkan tangannya. Azman tersentak seketika. Hatinya semakin berdebar. Sememangnya dia terkenal sebagai pelajar yang pendiam, jarang bergaul dengan pelajar-pelajar perempuan sekelasnya.

“Bo…boleh, a…apa salahnya,” terketar-ketar Azman menjawabnya.
Dia ingin bersalam dengan gadis itu, tidak mahu dikatakan sombong. Tetapi dia segera teringatkan kata-kata Ustaz Syaari : “Haram hukumnya lelaki dan perempuan yang bukan muhrim bersentuhan kulit.” Dia membatalkan niat itu.

Gadis itu menyedari, lalu menurunkan tangannya. Muka gadis itu memerah. Azman tidak mahu mengeruhkan suasana. Dia tersilap kerana tidak memperkenalkan dirinya terlebih dahulu.
“Nama saya Azman. Nama samaran err…..tak ada,” Azman mula berbicara sambil berjenaka. Dia terikut-ikut perangai rakan-rakannya yang gemar berkelakar. Gadis itu tersenyum kecil. Nampak lesung pipitnya yang tersembunyi, sekali gus menyerlahkan keayuan wajahnya. Ramah dan mudah mesra, hati Azman berkata.

Terasa cepat masa berlalu. Loceng terakhir berbunyi. Suasana gamat. Para pelajar berpusu-pusu keluar. Azman beriringan dengan teman barunya itu. Pelajar-pelajar lain menjeling. Tajam dan penuh maksuk. Azman menyedarinya.
                           
“Jumpa lagi, esok!” gadis manis itu melambaikan tangan pada Azman. Azman membalas sambil melemparkan pandangannya kepada Ana Syahida. Lincah getusnya.

***

Hubungan mereka kian akrab dan mesra. Mereka sudah bersama-sama ke kantin, perpustakaan ataupun ke mana-mana saja. Mareka sudah lali dengan usikan dan ejekan rakan-rakan.

“Ana, betulkah ayat saya ini?” Azman yang kurang arif dalam bahasa Inggeris menyoal. Azman tidak malu bertanya. Baginya malunya bertanya sesat jalan. Mereka juga sering berbincang pelbagai topik daripada yang paling berat hinggalah yang paling ringan.

Ana juga sering bertanya kepada Azman tentang pelajaran Pendidikan Quran Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah. Baginya pelajaran itu terlalu sukar terutama mengenai Tilawatil Quran. Azman sebagai teman akrab dan sekali gus “ustaz” banyak membantu Ana syahida. Ada juga jejaka-jejaka perasan di kelas 5 Arif itu yang cuba memikat Ana. Tetapi Ana sudah terpaut pada teman disebelahnya. Baginya Azman lain daripada yang lain. Sikapnya sederhana dan Ana senang dengannya. Azman juga pelajar cemerlang kelas itu. Jadi dapatlah dia bertukar-tukar fikiran dan bertanyakan pelajaran yang sukar baginya.

Samad yang gemar mengusik mereka mula berpantun :
Terbang melayang si burung merpati,
Hinggap sebentar di pohon angsana,
Rindu hatiku tadak terperi,
Hanya kekanda buah hati adinda.


Gelak tawa pelajar-pelajar lain berderai. Mereka tidak tahu saja. Kendatipun gurauan itu menyentuh hati, namun mereka menganggapnya sebagai hiburan. Walaupun mesra, Azman tahu juga “menjaga adab”. Tak pernah dia menyentuh tangan mulus Ana, apalagi melakukan perkara yang bukan-bukan. Azman hanya berbincang dan mengulangkaji pelajaran bersama-sama Ana. Sesekali mereka tertawa, tersenyum dan tersengih. Itu saja. Azman tidak mengejar ‘cinta’ sebaliknya cita-cita.
   
Suatu petang, mereka duduk santai di bangku berdekatan pinggir padang, diteduhi pohon Melaka yang merimbun. “Ana dah sedia untuk SPM?” Azman memulakan bicara. Muka Ana yang bujur sirih dengan rambutnya yang ikal mayang menggerbang ditiup pawana petang yang dingin. Ana memiliki paras wanita melayu asli. Kulitnya mulus putih bersih bagaikan bidadari. Jelingannya…ahh…tajam dan menusuk hati. Bak kata pujangga, “Dari mata turun ke hati”.

“Az, bagaimana?” Bibir lembut Ana mula menyoal.
“Eh…orang soal dia, dia soal orang balik!” Azman mengangkat keningnya. Mereka sama-sama ketawa. Panorama petang menyajikan sesuatu yang bermakna bagi kedua-dua remaja ini. Sesekali kicauan sang burung dan hembusan sang bayu memainkan irama, masing-masing membuktikan keagungan ciptaan Tuhan. Sungguh indah alam ini.

“Maklum sajalah, ada orang yakin dia sukses dalam SPM nanti!” Bibir manis Ana mula mengomel. “Siapa yang kata?” Azman mula menyoal sambil mukanya menampakkan kehairanan. “Analah yang kata.” Ana mula menjeling Azman sambil menyajikan sehiris senyuman manis penuh makna di pipi kiri. Azman terasa diperkenakan.“Ana perli saya, ya?” Azman buat-buat merajuk.

"Apa pula perlinya. Kalau sudah berusaha bersungguh-sungguh pasti mendapat kejayaan.” Kata Ana dengan jujur. “Kita hanya berusaha dan Tuhan sahajalah yang menentukan. Kita tak tahu dan tak pasti sama ada kita mendapat kejayaan atau sebaliknya,” Azman mula berceramah. Mereka sama-sama membisu dan mendiamkan diri.

“Ana, kalau Az cakap sesuatu, Ana marah tak?” Azman membuka bicara yang terkunci sejak tadi. Sememangnya percakapan ini hendak diluahkannya, tetapi terpaksa menunggu detik yang sesuai.
“Kalau kancil tak kenakan pelanduk, untuk apakah pelanduk mesti marah?” Ana berkias pula. “Begini, Ana.” Azman memulakan cerita. “Ana nak tahu? Az ada jumpa keris. Keris itu baik buatannya. Hulunya berawan larat dan sungguh cantik. Tetapi sayang, keris itu tidak bersarung dan sehingga kini Az cuba mencari sarungnya. Amat besar bahayanya jika keris tidak bersarung, takut-takut boleh membawa binasa dan hilang bisanya. Az harap, Az dapat memelihara keris itu berserta sarungnya sekali,” Azman mengakhiri ceritanya.
   
“Bila dan dimana Az jumpa keris itu?” Ana mula berminat dengan cerita Azman sementelahan dia meminati mata pelajaran Sejarah. “Az jumpa keris itu ketika mula-mula pertemuan kita dulu. Ya, ketika kita mula berkenalan. Lama juga ya, hampir dua bulan. Az jumpa keris itu di….di mana ya? Sekejap….ahh, dah dapat! Di sekolah inilah,” Azman memperkuatkan sedikit suaranya.

“Ahh, di sekolah ini…? Tetapi dibahagian mana?” Ana mula berasa pelik dengan cerita Azman. “Di kelas kita, 5 Arif !” Azman menjawab pantas sambil matanya merenung Ana penuh makna tersirat.     Ana mula terasa ketidakbenaran kata-kata Azman. Mana mungkin kelasnya yang berada di tingkat dua, dan….tidak mungkin, tidak mungkin ! Dia semakin kaget dengan cerita Azman. Macam cerita dongeng.

“Habis, mengapa rakan-rakan kita yang lain tidak tahu?” Ana bertanya dengan hairan. “Siapa kata mereka tidak tahu? Mereka semuanya tahu berkenaan hal itu malah ada yang cuba merampas keris tidak bersarung itu dari tangan Az, tapi Az buka silat. Mereka tak berani ‘kacau’ lagi,” jawab Azman berjenaka sambil tersenyum. Geli hatinya melihat Ana yang sungguh-sungguh bertanya.

Ana terkasima seketika. Baginya kata-kata Azman penuh maksud tersirat. Cerita Azman kali ini lain daripada yang lain. Kiasannya cukup sukar dimengertikan, bisik hati Ana lagi.

“Apa sebenarnya maksud Az?” Ana tidak dapat menyingkap teka-teki Azman. Azman tersenyum. Dia tahu Ana sudah mengalah. Dia menarik nafas, memikirkan kata-kata yang bakal diungkapkan kepada anak gadis kelahiran Cik Siti Wan Kembang itu. Suasana hening. Kicauan sang burung kembali reda. Hembusan sang pawana mula mengubah arah.

“Sebenarnya begini, Ana. Keris yang Az maksudkan diri Ana sendiri.” Azman mengungkap maksud tersirat cerita kiasannya dengan lembut. Berhati-hati. “Sejak kita berkenalan dua bulan lalu, jarang Az lihat Ana memakai tudung atau bertelekung mini. Memakai tudung wajib bagi setiap wanita Islam. Ana tentu ingat kata-kata Ustaz Syaari pagi tadi, bukan? Besar dosanya perempuanyang tidak menutup auratnya iaitu seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan,”

Ana Syahida rasa terpukul dengan kata-kata lembut ‘Ustaz Azman’ itu. Barulah dia mengerti kiasan cerita Azman sebentar tadi. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Pandangan ditundukkan ke tanah. Dia sedar orang yang bercakap dengannya kini lebih daripada sekadar sahabat.

“Ana akan dipandang cantik oleh manusia jika tidak memakai tudung.
Tetapi Ana akan lebih dipandang cantik dan ayu oleh Allah s.w.t dan manusia jika memakai tudung,” Azman berceramah. Sebenarnya dia tidak mahu mengeruhkan bibit-bibit kemesraan yang terkumpul selama ini, tetapi setiap perkara yang betul mesti disampaikan.

“Setiap orang mempunyai pendakwah, walaupun sebenarnya dia bukan pendakwah.” Teringat dia akan kata-kata Ustaz Syaari, guru lulusan Universiti al-Azhar, Mesir yang mengajarkannya mata pelajaran ‘Pendidikan Syariah Islamiah’.

Azman mengumpul kata-kata lagi sambil merenung mata Ana yang kian sayu dan redup, seredup petang itu. “Tidak semua kita melakukan sesuatu yang betul, Ana. Kita pernah melakukan kesalahan. Az harap Ana fikirlah kembali kata-kata Az tadi. Az lebih suka kalau Ana memakai kain tudung. Bersesuaian dengan nama Ana sendiri iaitu ‘Ana Syahida’ yang bermaksud :’Saya yang cantik, molek,dan mulia.’

“Az tidak memaksa, sekadar menyatakan yang benar. Az sayangkan Ana, sebab itu Az tidak mahu Ana tergolong dalam golongan penghuni Neraka.” Lembut Azman mengakhiri kata-kata yang ingin diluahkannya selama ini. Kata-kata yang panuh harapan dan keyakinan yang mendalam.

Ana terpaku seribu bahasa. Hatinya bagai dihiris sembilu mendengar kata-kata yang penuh harapan dan pengorbanan yang bukan sedikit.

***


Hari itu hari lahir Ana yang ke tujuh belas, 25 Jun. Hari baik pula; hari Jumaat. Ramai tetamu dan sahabat handai yang di jemputnya bagi meraikan majlis ulangtahunnya yang ke-17. semua rakan sekelasnya dijemput, kecuali Azman teman karibnya. Entah mengapa terasa berat hatinya hendak menjemput Azman. Selepas pertemuan hari itu, langsung dia tidak bertekur sapa dengan Azman walaupun Azman menegurnya.

“Itu hak Ana! Ana ada hak kebebasan sendiri. Mengapa pula ada orang ‘nak jaga tepi kain’ Ana? Ana boleh buat apa yang Ana suka. Ana bukannya budak kecil yang boleh disuruh buat itu dan ini !” Ana melepaskan kata-kata pada petang yang damai itu. Dia tidak sangka perangainya jauh berubah apabila Azman menyentuh hal peribadinya. Ahh ! Lupakanlah hal itu. Ana cuba memadamkan api kemarahan yang seterusnya melenyapkan bibit kemesraan yang telah dibinanya bersama Azman dahulu.
   
Petang itu ramai juga rakannya yang hadir. Mereka membawa pelbagai hadiah buat Ana. Ada yang kecil dan ada juga yang besar, masing-masing dengan hadiah dengan pelbagai warnadan corak yang menarik. Mereka datang dengan pakaian yang berseri-seri sambil mengucapkan ‘Selamat Hari Lahir’ buat Ana.

“Ini ada hadiah istimewa buat Ana,” Samad rakan sekelasnya yang suka mengusiknya dahulu mengunjukkan sebungkus hadiah yang bersalut kertas berwarna-warni.

“Apa ni Samad, buat susah-susah aje,” kata Ana yang wajahnya dihias cantik, lengkap dengan mekap dan baju kurung kekuning-kuningan.
Samad tersenyum mendengarnya. “Bukanlah! Hadiah istimewa buat orang yang istimewa dari orang yang teristimewa.” Ana tergelak mendengarkan kata-kata Samad itu. Rakan-rakannya yang lain mula mengerumi Ana. Perlahan-lahan Ana merobek pita selofon dan membuka kertas pembalut.

Apa ni? Getusnya. Ahh!!! Kain…tudung? Kain tudung putih bersih itu di kelurkannya dan didalamnya terselit sekeping kad bertulis tangan:

‘Anaku saying,
‘Selamat Hari Lahir’ yang ke tujuh belas. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Az harap keris yang Az miliki akan mempunyai sarungnya.
Azman.


Azman…bisik hatinya.
Seketika itu juga kedengaran deringan telefon. Samad yang duduk berdekatan menjawab panggilan. “Ya…Ada apa?…Siapa?…Mengapa?…Ya Allah…”

“Ada apa Samad? Apa yang berlaku?” Ana mula menyoal. Kecemasan terpancar pada raut wajahnya. “Az…Azman! Dia baru mendapat kemalangan. Luka yang dialaminya agak parah dan doctor mengatakan dia…baru sahaja…” Samad tidak sanggup untuk meneruskan kata-katanya lagi.

“Azmaaaaaan….” Ana meraung sekuat hati. Tangisnya kini tidak dapat ditahan lagi. Manik-manik mutiara yang terpendam, gugur satu demi satu. Orang yang disayanginya dan dibencinya selama ini telah tiada. rasa bersalah dan kesal bertindih-tindih mendatanginya. Kain tudung putih bersih hadiah hari lahirnya di pegang erat dan dalam sedu-sedannya sempat dia menuturkan tiga kalimah…ya, tiga kalimah….
“Kerismu Akan Bersarung.” Itulah janji Ana. Janji yang pastinya tidak akan ditarik kembali.
                                                        
Hasil nukilan:
Srikandi_nilampuri@yahoo.com

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ana....nama watak yang cantik
tapi jgan lah kamu melakukan sesuatu demi seseorang
kalau bley wat la ia kerana Allah

Ana Syahida Teridi berkata...

insya-Allah....